Thursday, October 9, 2008

PeNdIDikAn AwAL KaNak-KaNaK HaDHaRi

Kanak-kanak umpama kain putih, bersih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorak serta merencana kehidupan mereka agar generasi modal insan ini terus berada di landasan yang betul.Ibu bapa juga berkewajipan mendidik, membimbing dan memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna dan berterusan.Proses pendidikan bermula seawal bayi dilahirkan ke dunia dan sehubungan itu sistem pendidikan awal kanak-kanak yang komprehensif amat penting dan tidak boleh di pandang ringan oleh ibu bapa.Namun begitu, dalam dunia moden dan serba global ini menjadikan ibu bapa semakin kekurangan masa kerana sibuk dengan dengan pelbagai komitmen lain, yang menjadikan amanah pendidikan anak-anak terpaksa dikongsi bersama para guru di sekolah atau pusat jagaan.Oleh demikian, pendidikan kanak-kanak masa kini lebih bersifat dua hala iaitu di rumah dan di sekolah. Manakala bagi kanak-kanak kecil seperti bayi dan yang berumur bawah enam tahun, maka pusat jagaan, taska, taski, pusat transit dan sebagainya menjadi rumah kedua mereka.Keadaan ini mewujudkan integrasi rumah dan institusi pendidikan sebagai teras dalam pembinaan watak, personaliti, mentaliti dan fizikal anak-anak sejak kecil sehinggalah mereka menjejakkan kaki ke menara gading.Ibu bapa juga tidak boleh terlalu berkira untuk tujuan pembiayaan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti walaupun kosnya terlalu tinggi dan bagi yang kurang berkemampuan, institusi pendidikan awal kanak-kanak yang berpotensi turut disediakan oleh pihak kerajaan.Hakikatnya pengukuhan serta pemantapan pendidikan awal kanak-kanak perlu diberikan keutamaan dan langkah kerajaan Negeri Terengganu menganjurkan Tadika Hadhari yang seluruh negeri tersebut adalah langkah bijak ke arah memperkasa usaha melahirkan generasi baru yang berilmu dan hebat sejak di usia kecil lagi.Kecemerlangan terbesar model Tadika Hadhari berkenaan ialah berjaya melahirkan generasi baru modal insan cilik yang mampu menghafaz Muqaddam iaitu 23 surah lazim seawal usia tiga hingga lima tahun. Keistimewaan ini adalah sesuatu yang agak mustahil suatu ketika dahulu dan kini kita telah berjaya merealisasikannya.Asas dan pendidikan al-Quran sewajarnya didedah, diterap dan ditanam seawal mungkin di dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak memandangkan melalui medium al-Quran, mereka dapat berkomunikasi dan berinteraksi secara langsung dengan korpus sains, sosial, ekonomi dan teknologi melihat kepada ayat dan petunjuk yang terkandung di dalamnya.Program seperti ini adalah merupakan inisiatif terancang untuk melahirkan generasi ulul albab yang bersifat Quranik, Eksiklopedik dan Ijtihadik yang membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berilmu, inovatif dan kreatif yang merupakan komponen utama barisan warga berfikiran kritis, terbuka dan minda kelas pertama.Melihat kepada kejayaan dan penghijrahan minda ini, maka adalah amat wajar sekiranya progran Taska Hadhari ini diperluaskan ke negeri-negeri lain agar manfaat, keunikan dan keistimewaan program ini turut dinikmati oleh kanak-kanak lain serta dapat dikembangkan lagi kepada masyarakat dengan inisiatif, pembaharuan dan kehendak negeri masing-masing.Untuk itu sistem pendidikan yang sistematik, berkualiti dan holistik perlu ke arah memantapkan lagi pembangunan modal insan yang mampu menguasai trend pengetahuan, ilmu, maklumat dan kemahiran sebagai persiapan menuju misi negara maju pada tahun 2020 kelak.Tidak mustahil suatu hari nanti negara berjaya melahirkan saintis, teknologis, usahawan, agamawan, pemimpin dan teknokrat yang quranik, yang akan memimpin dan memacu perkembangan serta pertumbuhan negara serta masyarakat Malaysia setanding negara maju lain di dunia.

2 comments:

nakhoda islam said...

assalammualaikum..
alhamdulillah.sekiranye didikan yang diamalkan atau diterapkan oleh kedua ibu bapa kepada anak-anak dengan cara yang telah ditetapkan oleh agama, insya Allah, anak-anak sekarang dan yang akan datang pasti menjadi anak-anak yang soleh dan berguna kepada agama dan masyarakat.segala gejala yang buruk pasti akan dapat ditangani dan tidak akan menjadi barah kepada agama dan masyarakat.
-insan biasa-.

NuR ImAn KaMiLaH said...

mungkin juga boleh dilihat dengan diri Rasulullah yang mana pada sewaktu kecilnya, baginda tidaklah duduk atau dipelihara oleh ibu kandungnya. baginda diberikan kepada ibu susu baginda. tetapi dalam memilih ibu susu ini juga ibu baginda telah memilih yang terbaik buat anaknya. maka tidak salah jika ibu bapa yang bekerja ingin menghantar anak-anak di mana2 pusat jagaan atau orang gaji. tetapi haruslah di buat penilaian atau pemilihan yang terbaik untuk anak mereka. wallahu wa'alam