Monday, October 20, 2008

KoNSep NeGaRa IsLam DaN MaTlamaTnNa

Menurut Islam, menjadi pemerintah ialah untuk mencapai matlamat, bukannya menjadi matlamat. Mewujudkan Negara Islam itu ialah memungkinkan kita melaksanakan perintah Allah dan ini tidak boleh dilakukan secara individu. Menegakkan negara Islam ini terkandung di dalam matlamat melaksanakan perintah Allah SWT yang di gariskan kepada tiga perkara,
1. Matlamat Khulafah. Iaitu tugas yang maha besar yang diisytiharkan oleh Allah kepada para malaikat. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat. Sesungguhnya Aku akan jadikan di muka bumi itu khalifah."
Para ulama mentakrifkan Khulafah itu sebagai “Mengalang-ganti keNabian di dalam perkara memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya (iaitu dengan agama).
Dari takrif tersebut, kita dapati dua unsur terpenting di dalam tujuan kejadian
  • Menjaga agama
  • Mentadbir dunia

Menjaga agama dilakukan dengan melaksanakan dua perkara pokok.
a) Menegakkan Islam dengan menyatakan kepada manusia seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA dengan menyatakan apakah Islam yang sebenar kepada seluruh manusia dan membuktikan kebaikan ajaran dan hukum-hukumnya di samping mempertahankan dari musuh.
b) Melaksanakan Islam dengan mengamalkan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya dalam semua urusan. Termasuk juga di dalamnya urusan bermasyarakat dan bernegara. Menyeru dan mengajak manusia kepada melaksanakan perintah agama dan bertindak ke atas sesiapa yang tidak melakukannya, di samping mencegah kemungkaran dan kejahatan dengan kuasa pemerintah.
Mentadbir dunia dengan agama ialah menghayati bahawa urusan dunia itu termasuk juga di dalam urusan agama. Ia mestilah patuh kepada perintah agama. Apa yang dimaksudkan ialah segala urusan negara yang membawa kepada kebaikan dan menolak keburukan tidak akan sempurna dan tidak dapat disempurnakan melainkan dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT terutamanya perkara-perkara yang berhubung dengannya.
1. Menegakkan keadilan di kalangan manusia
Ciri-ciri utama mentadbir dunia dengan agama ialah beriltizam sepenuhnya dengan keadilan kerana ia menjadi tunggak yang menguatkan negara. Sebenarnya kezaliman itu tidaklah menandakan kekuatan negara tetapi menandakan keruntuhannya.
Di dalam Islam makna adil ialah meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya menurut hukum Islam. Dengan keadilan itu terjamin pemberian hak kepada yang berhak dan tidak berlaku zalim kepada yang berhak. Pemerintah hendaklah bertindak menentang kezaliman daripada diri sendiri. Al-Alamah Ibnu Khaldun menjelaskan makna zalim di dalam kitabnya Al-Muqqadimah:
Janganlah kamu menyangka zalim itu mengambil harta atau merampas milik tanpa alasan dan gantian yang wajar seperti diketahui umum, tetapi zalim itu bermakna lebih luas dari itu. Zalim itu ialah setiap orang yang mengambil milik orang lain atau merampas di dalam kerjanya, atau membuat permintaan yang tidak sebenar, atau mewajibkan kepada seseorang dalam perkara yang tidak diwajibkan oleh hukum syarak. Oleh itu mengambil cukai dengan cara yang tidak benar adalah zalim, bertindak mencari kesempatan daripadanya adalah zalim, menghalang hak orang lain adalah zalim. Kesemua akibat penyakit zalim yang berlaku menjadi bebanan negara ke arah membawa keruntuhan.
Bagi menegakkan keadilan, pemerintah wajib memberi tugas urusan negara kepada orang yang berkelayakan dan mempunyai sifat yang baik. Bukannya berdasarkan kepada orang yang berada di sekeliling pinggang tanpa membezakan di antara pengampu dan penasihat.
Pemerintah juga hendaklah mengawasi jentera kerajaan dan petugas-petugasnya agar mengikuti jalan yang sebenar dan tidak cuai dalam mengendalikan urusan negara untuk umatnya. Di dalam kitab Fiqah Siasi di sebut al-Hasabah atau Nizamul Hasabah perlu di wujudkan. A Hasabah ialah satu badan yang diberi kuasa penuh bagi menjalankan tugas munasabah terhadap perjalanan pentadbiran dan hal ehwal rakyat di samping menerima pengaduan rakyat.
2. Membentuk pandangan yang mulia dan kebebasan pendapat yang bermaruah.
Dengan menggalakkan amar makruf dan nahi mungkar dan nasihat menasihati maka terbentuklah satu umat yang dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dijadikan untuk manusia, kamu menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.”
Dan Allah SWT melaknat umat yang tidak wujud sifat-sifat tersebut. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dilaknati akan orang-orang Kafir di kalangan Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa bin Maryam, yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas, mereka selalu tidak melarang antara satu sama lain dalam perkara mungkar yang mereka perbuat, sesungguhnya amat buruk apa yang selalu mereka perbuat itu.”
Di antara sifat yang berlaku sekarang ialah tidak memberi kebebasan kepada akhbar untuk mengkritik walaupun yang membina menurut Islam, di samping itu memebebaskan ruang yang menggalakkan kemungkaran, dan di antaranya ialah menutup penyelewengan dan kezaliman yang berlaku.
3. Menghormati taraf kemanusiaan.
Di antara peranan yang dilakukan oleh Negara Islam itu ialah menghormati dan mempertahan taraf kemanusiaan sebagai makhluk yang mulia di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam. Kami menanggung mereka di daratan dan dilautan. Kami berikan mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”
4. Menegakkan keamanan dan kestabilan
Negara Islam berkewajipan menjamin keamanan dan kestabilan negara demi memelihar kepentingan agama, nyawa, akal, kehormatan dan perkembangan harta benda. Ini semua dapat dijalankan dengan cara yang sempurna apabila undang-undang negara dan sistem dalam segala aspek dilaksanakan secara menyeluruh menurut undang-undang dan sistem Islam.
5. Menyediakan keperluan rakyat
Di antara perkara yang termasuk di dalam urusan pentadbiran dunia dengan agama ialah menyediakan kemudahan-kemudahan rakyat di dalam semua kehidupan mereka. Dari segi ilmu, pemerintah mestilah menyediakan pusat-pusat pengajian di semua peringkat dan jurusan. Dari segi ekonomi, pemerintah hendaklah memberi kemudahan pekerjaan seperti di dalam sektor industri, pertanian, perdagangan dan lain-lain. Ini termasuk dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan umum ataupun memberi kemudahan dan perlindungan dalam perkara yang dilibatkan oleh rakyat secara langsung.
6. Menggalakkan perkembangan kemajuan negeri dan rakyat
Di dalam urusan dunia yang ditadbir dengan agama, pemerintah juga haruslah menggalakkan perkembangan kemajuan negara dan rakyat seperti menggalakkan pelaburan yang berfaedah sama ada dari dalam atau dari luar negeri. Di samping itu kerajaan juga haruslah menyediakan kemudahan-kemudahan asas bagi membantu kemajuan negeri dan rakyat.
Al-Imam Abu Yusof telah menyebut di dalam kitab al-Kharaj:
Untuk menggalakkan pertambahan hasil negara dan kesenangan rakyat agar bertambah hasil pertanian yang dengannya maka akan bertambahlah zakat yang diambil dari orang Islam dan kharaj dari orang bukan Islam, pemerintah hendaklah menyediakan kemudahan taliair untuk para pertani dengan perbelanjaan pemerintah.

No comments: