Pelbagai pindaan kepada undang-undang keluarga Islam dalam dua dekad kebelakangan ini, semakin menggugat kedudukan wanita, terutamanya wanita Islam, dalam rumahtangganya. Syarat-syarat untuk berpoligami, perceraian, pembahagian nafkah dan hadhanah kebanyakannya memihak kepada kaum lelaki dan merugikan kaum perempuan. Malah, pelaksanaan undang-undang dalam proses perundangan Syariah juga berat sebelah kepada pihak lelaki. Banyak laporan akhbar dan aduan yang diterima pertubuhan wanita menunjukkan wanita tidak menerima layanan yang adil dan saksama dari pihak mahkamah Syariah. Pelulusan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 oleh Dewan Negara bulan lepas merupakan satu lagi tindakan dalam arus penghakisan hak wanita. Pindaan terbaru ini memberikan pihak lelaki kuasa yang jauh lebih besar dari dahulu untuk berpoligami, untuk menceraikan isteri dan juga untuk membekukan harta isteri untuk menuntut harta sepencarian, manakala peluang pihak wanita untuk menegakkan hak mereka kian luput. Adalah amat mengecewakan bahawa Malaysia, salah satu tokoh di kalangan negara Islam, telah memilih langkah ke belakang dengan meluluskan pindaan yang memudaratkan kaum perempuan. Ini tentu tidak sejajar dengan arus perubahan di kalangan beberapa negara Islam yang mengorak langkah untuk meminda undang-undang keluarga Islam ke arah kesaksamaan dan keadilan antara lelaki dan wanita. Satu perkembangan terbaru di dunia Islam yang amat dialu-alukan ialah pelulusan pindaan terhadap Moudawana (Kod Status Personal) di Maghribi yang mendukung prinsip keadilan dan kesetaraan antara lelaki dan wanita dalam Islam. Perkembangan seperti inilah yang sepatutnya diteladani oleh negara Malaysia.
Friday, October 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Sekiranya rang-rang undang-undang keluarga seperti yang tersebut tetap dilaksanakan, ditakuti ia akan meninggalkan banyak kesan buruk. Di antaranya akan runtuh institusi kekeluargaan sekiranya suami yang berpoligami tidak berlaku adil dan tanggungjawabnya dengan sempurna, wanita akan tertindas sekiranya berlaku perceraian apabila suami diberikan kebenaran untuk membekukan harta si isteri. Jika si isteri mempunyai kedudukan ekonomi yang teguh tidak mengapa tetapi jikalau tidak melaratlah hidup si isteri tersebut, dan lain-lain lagi. yang penting dalam kehidupan suami isteri perlulaj memikirkan akibat baik dan buruk dalam jangka pendek mahupun jangka panjang dalam membuat sesuatu keputusan dalam kehidupan berumahtangga mereka. Fikirkan masa depan anak-anak sekiranya institusi kerumahtanggaan mereka goyah.
Post a Comment